Wednesday, April 30, 2008

LaGi-LaGi MaKan Di LuaR







Assalamualaikum cunda kalian!
Budaya makan di luar sudah lumrah.Malah ada yang mendarah daging.Tengoklah gambar-gambar tu.Bila berpergian sikit restoranlah jadi sasaran.Asyik makan makan saja.Tapi jangan terkeliru ya!Kami pinjam meja dan kerusi saja.Makanan kami bawa dari rumah.Sebelum subuh lagi kami dah masak.Cuma di kedai itu kami pesan minuman tambahan sahaja.
Memanglah sekali sekala perlu juga makan di luar ...... hujung minggu ke.......hari-hari istemewa ke .....Biasanya hari-hari ong di hujung bulan....atau merai saudara mara,teman taulan yang jarang-jarang bersua.......tukar-tukar selerakatakan.
Tak mengapalah.Makanlah di mana-mana jua yang patut.Asalkan jangan lupa adab-adab makan..... doa dan tatatertib ........sebelum makan.... sedang makan........ selepas makan.
Walaubagaimana pun cunda kalian....... makanan amat-amat memberi kesan kepada pertumbuhan jasmani..... rohani .......akal ......emosi.
Kini kita terdedah dengan ..........
sumber makanan yang tidak halal
penyediaan makanan yang tidak bersih lagi suci
ada juga masyarakat yang mendapat rezeki secara haram.
Kesannya teruk sekali
hati gelap pekat
barakah terhapus
dosa berlonggok.
Alhamdulillah!!!!Syukur! Kita terhindar dari semuanya itu.
Lebih-lebih lagi bila kita sendiri yang menyediakan makanan untuk keluarga kita......bersih lagi lazat.Malah kesan kasih sayang paling menonjol.
Kita masih teringat-ingat lazatnya masakan orang tua-tua dahulu.....bahannya apa sangat.....namun lazatnya melekat ......memikat....
Itu berkat air bekas tangan orang tua-tua kita.
Kita teringat
Kita terkenang
kita mengasihinya
kita merinduinya
Sebab itulah anak perantau rindu sangat pulang ke pangkuan bonda .
Demi menikmati secebis rasa lazatnya masakan bonda.
Cunda kalian:
Sering-seringlah bantu ummi dan baba menyediakan makanan.
Seronok tau!!
Goreng jemput-jemput pisang bersamapun menyeronokkan.
Dapat menikmati jemput-jemput panas-panas lagi....berebut-rebut keseronokan.
Cuba kalian minta ustazah kalian bercerita tentang Sirah Rasulullah(s.a.w)
Bagaimana baginda bersama-sama
isteri-isteri
anak-anak
dan cucu -cucu baginda dalam menghadapi hidangan.
Abang Khayr,Umayr,Dhuha dan Awfa sering-seringlah meminta makanan
masakan yang disediakan oleh baba dan ummi.Jangan sering-sering sangat ke kedai aney.
Nanti ketagih pula.


Akhirnya elakkanlah daripada memakan makanan segera yang melambak-lambak di pasar.
rasanya apa sangat
Zatnya pun tiada.

TokBah BaliK yeeyeee


Monday, April 28, 2008

Sunday, April 27, 2008

12 KATEGORI MANUSIA YANG DIDOAKAN OLEH PARA MALAIKAT

Assalamualaikum! semoga cunda berempat dalam sejahtera dalam lindungan dan dalam limpahan rahmat Allah hendaknya.
Semasa kuliah Maghrib tadi sempat jug baTok Bah kutip isi-isi penting yang disampaikan
oleh penceramah tadi.
Untuk panduan Tok Bah dan cunda kalian Tok Bah senaraikan butir-butir penting itu :
1.Orang yang tidur dalam keadaan suci.
2.Orang yang duduk menunggu waktu solat.
3.Orang-orang yang berada di saf hadapan sekali di dalam solat berjemaah.
4.Orang-orang yang menyambung saf pada solat berjemaah (tidak membiarkan ruang
kosong di dalam saf).
5.Para malaikat mengucapkan "Amin" ketika seorang imam selesai membaca
Al-Fatihah.
6.Orang yang duduk di tempat solatnya setelah melakukan solatnya,
7.Orang-orang yang menunaikan solat Subuh dan solat Asar secara berjemaah.
8.Orang yang mendoakan saudaranya tanpa pengetahuan orang yang didoakan .
9.orang-orang yang berinfak.
10.Orang yang sedang makan sahur.
11.Orang yang sedang menziarah orang sakit.
12.Seseorang yang sedang mengajar sesuatu yang baik kepada seseorang.

Catatan di atas tentunya sudah ada yang dapat diamal sendiri oleh abang Khayr,
Umayr dan kak Dhuha iaitu doa semasa hendak tidur.Teruskan amali ini.
Agaknya abang Khayr dah lancar membaca. Bacalah apa yang Tok Bah tulis ini.

Thursday, April 24, 2008

CATATAN KEMBARA SEKEPING KALBU

sungai jernih mengalir laju
dalam irama syahdu
di kemuncak bicara WUKUF
membanjiri persada ARAFAH
menghanyut longgokan insaf
ke muara taqwa
pabila himpunan jutaan hati
ditiup badai TAKBIR.......TAHMID
sungai jernih mengalir lagi
semakin laju rentaknya
di DATARAN TAWAF
di bawah penyaksian KAABAH
dengan irama sayu pilu
dalam sejuk pagi nan bening
mohon suatu pamitan
duhai BAITULLAH
duhai ALHARAM
kita berpisah jua
kapan bersua
semoga timbunan dosa
hanyut ke pantai keampunan
sungai jernih mengalir lagi
irama sendunya menghiris kalbu
dalam saf jamaah QIAM
bersama para ulamak
bersama kicap kicau berburung kota
memenuhi ruang angkasa
bermunajat kepada ILAHI
memohon secebis kemenangan
merayu ISLAM dipuncakkan
dalam samar pagi meniti subuh
kerana besoknya HARI PENENTUAN
sungai jernih itu mengalir lagi
pun di pagi nan syahdu
bila terbaca nukilan
puteri sulungku menyingkap duka derita
dalam sebuah judul
SEORANG TUA DI SUATU PAGI
terhiris pilu
menggigil haru
kelu bicara hati
YA RABBI!
buat kesekian kalinya
sungai jernih ini mengalir lagi
menghanyut hamparan sujud
ketika meluah limpahan syukur
di dada RUMAHMU TUHAN
saat menerima anugerah impian
redhalah duhai pagi
kuyupnya sayapmu
lantaran tersimbah ombak sungai itu

Tuesday, April 22, 2008

Doa pembukaan

Anak anak cucu Tok Bah sekalian marilah sama-sama kita mengaminkan doa sempena merasmikan blog yang amat bermakna ini.
Terlebih dahulu Tok Bah ingin rakamkan luahan rasa terima kasih yang amat tinggi buat:
Awfa tersayang
kak Dhuha yang manja
abang Umayr yang gigih
di samping abang Khayr yang responsive
jua untuk
ummmi
baba
yang
dedikatif lagi kreatif.
terima kasih cunda berempat.
tok bah + tok mi
girang...riang ... gembira .....mengenangi kalian.

Alfatihah!..............
Segala puji bagi Allah Tuhan Pentadbir seluruh alam,rahmat dan sejahtera
atas junjungan kami Nabi Muhammad(s.a.w) semulia-mulia pesuruhnya
serta atas keluarga dan sahabatnya sekalian.

Ya Allah kurniakanlah kami lisan yang lembut basah mengingati dan menyebut
nama Mu ,hati yang penuh segar mensyukuri nikmat Mu serta badan yang
ringan menyempurnakan ketaatan kepada perintahMu .Ya Allah,kurniakanlah
kami iman yang sempurna,hati yang khusyuk,ilmu yang berguna,keyakinan
yang benar-benar mantap.Ya Allah kurniakanlah kami cara hidup yang jitu
dan unggul.Selamat dari segala mara bahaya dan petaka.Kami mohon ya Allah
kecukupcn yang tidak sampai kami terpaksa meminta jasa orang lain .
Berikanlah kami ya Allah iman yang sebenarnya sehingga kami tidak lagi gentar
atau mengharap orang lain selain dari Engkau sendiri .Kembangkanlah
lembayung rahmatMu kepada kami,keluarga dan anak-anak kami serta
sesiapa sahaja yang bersama-sama kami.Jangan ya Allah engkau biarkan
nasib kami ditentukan oleh diri kami sendiri walaupun kadar sekelip mata
atau kadar masa yang lebih pendek dari itu.Wahai Tuhan yang paling
mudah dan cepat memperkenankan pinta.Perkenankan lah.

Selawat dan restu Allah un tuk Junjungan kami Muhammad nabi yang mulia,
kepada keluarga baginda dan para sahabat baginda amnya.

Sunday, April 20, 2008

Salam kasih sayang buat semua...

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Akhirnya kami berjaya menghasilkan sebuah blog untuk Tokbah.Semoga keseronokan sebagai bloggers memberi satu mode baru untuk tokbah berkerjaya sebagai blogger sepenuh masa.Sebagai wadah yang amat efektif untuk meluahkan rasa, menasihati anak-anak, menziarahi anak cucu dan bersilaturrahim... paling utama dapat dijadikan medium berpesan-pesanan dan ingat mengingati demi kebaikan duniawi dan ukhrawi...

Dari kami... buat tokbah selamat mengeblog!