Thursday, April 24, 2008

CATATAN KEMBARA SEKEPING KALBU

sungai jernih mengalir laju
dalam irama syahdu
di kemuncak bicara WUKUF
membanjiri persada ARAFAH
menghanyut longgokan insaf
ke muara taqwa
pabila himpunan jutaan hati
ditiup badai TAKBIR.......TAHMID
sungai jernih mengalir lagi
semakin laju rentaknya
di DATARAN TAWAF
di bawah penyaksian KAABAH
dengan irama sayu pilu
dalam sejuk pagi nan bening
mohon suatu pamitan
duhai BAITULLAH
duhai ALHARAM
kita berpisah jua
kapan bersua
semoga timbunan dosa
hanyut ke pantai keampunan
sungai jernih mengalir lagi
irama sendunya menghiris kalbu
dalam saf jamaah QIAM
bersama para ulamak
bersama kicap kicau berburung kota
memenuhi ruang angkasa
bermunajat kepada ILAHI
memohon secebis kemenangan
merayu ISLAM dipuncakkan
dalam samar pagi meniti subuh
kerana besoknya HARI PENENTUAN
sungai jernih itu mengalir lagi
pun di pagi nan syahdu
bila terbaca nukilan
puteri sulungku menyingkap duka derita
dalam sebuah judul
SEORANG TUA DI SUATU PAGI
terhiris pilu
menggigil haru
kelu bicara hati
YA RABBI!
buat kesekian kalinya
sungai jernih ini mengalir lagi
menghanyut hamparan sujud
ketika meluah limpahan syukur
di dada RUMAHMU TUHAN
saat menerima anugerah impian
redhalah duhai pagi
kuyupnya sayapmu
lantaran tersimbah ombak sungai itu

No comments: